KENYATAAN MEDIA
Isnin 31hb Mei 2010
GESAAN KEPADA KERAJAAN DAN RAKYAT MALAYSIA MENGUTUK SERANGAN ISRAEL KE ATAS FLOTILA MISI BANTUAN KEMANUSIAAN LL4G KE GAZA
Perkembangan terkini flotilla Lifeline4Gaza;
1. Sebagaimana yang dimaklumi 7 buah kapal yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza sedang belayar menuju ke perairan Gaza melalui Laut Mediterranean. Konvoi ini diketuai oleh sebuah NGO daripada Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH). Maklumat terkini ialah kapal induk Mavi Marmara telah diserang oleh angkatan laut Israel. Akibat dari tindakan biadap ini 3 orang sukarelawan telah terkorban dan 30 lagi mengalami cedera parah.
2. Seramai 12 orang sukarelawan bersama-sama petugas media daripada Malaysia turut menyertai konvoi bantuan kemanusiaan ini. Mereka berada di atas kapal “Mavi Marmara”. Penyertaan mereka bersama konvoi ini adalah semata-mata atas dasar kemanusiaan.
3. Semua objektif dan pergerakan konvoi ini adalah berpandukan kepada Resolusi 1860 (2009) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang maritim lain yang berkaitan. Antara lain, Resolusi 1860 menyebut antara lain
a) menyeru kepada penghantaran bantuan kemanusiaan kepada Gaza termasuk makanan, minyak dan kemudahan perubatan,
b) menggalakkan usaha-usaha membuka laluan dan mekanisma lain bagi tujuan menyampaikan bantuan kemanusiaan yang berterusan,
c) menyeru semua negara untuk menyokong usaha-usaha di peringkat antarabangsa bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan dan ekonomi di Gaza, dan
d) mengecam semua bentuk keganasan dan serangan terhadap masyarakat awam dan semua bentuk terorisma.
Semua rakyat Malaysia yang terlibat di dalam konvoi ini berpegang teguh kepada peraturan dan undang-undang antarabangsa dan pekerti mulia sesuai dengan aspirasi negara Malaysia.
4. Konvoi ini membawa kira-kira 10,000 tan barangan bantuan. Seramai lebih 540 orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, ulamak, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun. Tidak ada sebarang bentuk senjata dibawa bersama konvoi ini walaupun untuk tujuan mempertahankan diri. Fakta ini jelas menunjukkan bahawa konvoi ini adalah benar-benar sebuah konvoi bantuan kemanusiaan yang akan disampaikan oleh sukarelawan-sukarelawan dari kalangan masyarakat awam.
5. Berdasarkan kepada fakta-fakta ini jelas Israel secara biadap telah melanggar undang-undang antarabangsa. Apatah lagi serangan ini berlaku di perairan antarabangsa dan dilakukan ke atas sebuah kapal bantuan kemanusiaan yang tidak bersenjata yang bertujuan aman. Tindakan Israel menginjak-injak prinsip kemanusiaan ini wajar mendapat kutukan dari seluruh masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan dan keadilan.
6. Kami dengan ini menyeru supaya kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Mohd Najid Tun Abd Razak dan juga Datin Seri Paduka Rosmah Mansor sebagai Penaung kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk tindakan biadap dan kejam regim Zionis Israel yang telah bertindak di luar batas kemanusiaan dengan menyerang sebuah flotila kemananan yang bertujuan semata-mata untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang teraniaya dan dizalimi sekian lama.
7. Kami juga menyeru PBB supaya mengadakan persidangan tergempar untuk meluluskan resolusi bagi mengambil tindakan paling tegas ke atas Israel, termasuk mengheret pemimpin mereka ke muka pengadilan.
8. Kami juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyatakan bantahan dan kutukan paling keras ke atas Israel serta bersedia untuk menyokong apa-apa tindakan yang akan disusun seterusnya bagi menangani isu ini.
9. Kami juga menyeru kepada semua pemimpin-pemimpin politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat seluruhnya supaya bergabung tenaga menyatakan sokongan kepada misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mengenakan tekanan ke atas Israel yang telah menyerang flotila Gaza sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan di kalangan sukarelawan.
10. Kami seterusnya menyeru agar semua peringkat masyarakat dapat meneruskan doa dan solat hajat di masjid, surau, jabatan kerajaan, atau mana-mana tempat lain yang sesuai bagi memohon agar Allah SWT menjayakan misi bantuan ini dan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada para sukarelawan.

Zulkifli Mohd Nani
Pengerusi
Pasukan Pengurusan Krisis dan sokongan keluarga misi
LL4G Malaysia

Berangkatnya Para Sukarelawan ke Gaza


"Aku hanya berwasiat pada kalian andainya kami tiada – teruskanlah perjuangan ini, tingkatkanlah dakwah kepada masyarakat, mantapkanlah tarbiyah diri, keluarga dan anak-anak didik kalian yang ada."


Demikian antara amanat yang ditinggalkan oleh Ketua misi konvoi Lifeline4Gaza dari Malaysia ke Gaza, Sdr Noorazman Mohd Samsuddin yang akan berangkat ke Turki pada 19hb Mei nanti. Amanat tersebut dibuat selepas senarai peserta konvoi dari Malaysia diumumkan. Peserta konvoi dipilih dan disaring oleh penganjur utama projek, Pertubuhan Hak Asasi dan Bantuan Kemanusiaan (IHH) yang berpusat di Turki. Seramai 6 orang sukarelawan dan 4 orang wakil media dari Malaysia akan menyertai konvoi kapal antarabangsa bersama-sama dengan lebih daripada 600 orang peserta dari puluhan negara.


“Saya bagi pihak peserta yang lain menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya ada apa-apa kesalahan, kesilapan yang dilakukan sebelum ini. Sekiranya kami tidak pulang ke Malaysia, maafkanlah kesalahan kami, halalkanlah makan minum kami, bantulah keluarga kami.”

“Semoga Allah terima semua amalan kita.”

“Ya Allah! Kuatkanlah hati-hati kami atas jalanMU.”

Muslimat yang cekal dengan ketentuan Illahi


Beliau juga meninggalkan pesan kepada seluruh warga yang prihatin dengan perjuangan membebaskan bumi Palestin agar terus berjuang tanpa henti. Begitu juga kepada semua yang cakna dengan masa depan umat agar mempertingkatkan usaha dakwah kepada masyarakat dan memantapkan usaha tarbiyah bermula dengan diri dan ahli keluarga dan seterusnya anggota masyarakat.

Anak-anak yang bagaikan tidak mahu melepaskan ayahnya pergi..

“Aku hanya berwasiat pada kalian andainya kami tiada – teruskanlah perjuangan ini, tingkatkanlah dakwah kepada masyarakat, mantapkanlah tarbiyah diri, keluarga dan anak-anak didik kalian yang ada.”

“Jangan biarkan darah yang gugur di bumi Al-Aqsa menjadi hujah menentang kita di hadapan Allah atas kelalaian, kemalasan dan kejumudan amalan-amalan kita.”

“Ya Allah! Bantulah kami”

http://www.lifeline4gaza.org

#Sama-samalah kita mendoakan saudara-saudara kita ini semoga diberi kekuatan serta dilindungi oleh Allah. Apa pun yang terjadi dakwah mesti diteruskan. Teruskanlah perjuangan kita dalam memboikot serta membenci tindakan Yahudi Laknatullah terhadap Islam.

"Ya Allah, thabatkan lah kami di atas jalan dakwah-Mu ini. Jauhkanlah kami daripada terpedaya dengan kenikmatan dunia. Tingkatkanlah keimanan dan ketaqwaan dalam diri kami."..Amin..

SEDETIK BERSAMA SELAMANYA TERASA



Alhamdulillah… alhamdulillah … alhamdulillah …hanya itu sahaja lafaz yang dapat ana ucapkan tatkala Dia mengizinkan ana untuk menghadiri mukhayyam yang telah diadakan di Gua Batu Maloi. Walaupun diri ini kepenatan dek kerja yang bertimbun, namun tetap bersemangat untuk ber’mukhayyam’ kerana sudah sekian lamanya diri ini tak ber’mukhayyam’. Bagi ana, mukhayyam atau dalam Bahasa Melayu bermaksud perkhemahan dan Bahasa Inggeris bermaksud camping sangat bermakna dalam mendidik disiplin diri seseorang terutamanya bagi mereka yang telah menyediakan diri mereka untuk berada di jalan dakwah ini.


Program bermula pada jumaat petang, namun diri ini tidak mampu untuk menghadirkan diri pada petang tersebut kerana faktor tugas sebagai seorang pendidik. Jadi, setelah berakhirnya sesi persekolahan, ana bertemankan seorang akhawat bertolak ke tempat program lebih kurang jam 8 malam. Perjalanan kami hanya berpandukan sebuah peta kerana masing-masing tidak pernah pergi ke tempat tersebut di samping petunjuk dari Dia. Dipendekkan cerita, alhamdulillah kami selamat tiba di tempat program walaupun hampir-hampir tersesat. Rupa-rupanya, kami antara akhawat yang terawal sampai. Kami difahamkan rombongan akhwat yang telah bertolak kira-kira jam 7.45 malam belum lagi sampai kerana telah tersesat. Sebenarnya jarak dari tempat kami ke tempat program hanya memakan masa selama setengah jam sahaja. Namun, kita hanya merancang, Allah juga merancang, dan ternyata perancangan Allah juga yang terbaik untuk kita.


Pelbagai pengalaman yang dapat ana sematkan dalam diari hidup ana daripada mukhayyam ini. Antaranya ialah kehebatan serta keindahan ciptaan Illahi di dalam Gua Batu Maloi. Subhanallah, tidak dapat ana ungkapkan dengan kata-kata. Hanya kalimah subhanallah sahaja yang sering meniti di bibir ini tatkala melihat keindahan ciptaan Illahi sepanjang perjalanan menuju ke Gua Batu Maloi. Pengalaman masuk gua sebagai salah satu daripada modul mukhayyam merupakan pengalaman pertama bagi ana. Kebanyakan mukhayyam yang pernah ana ikuti hanya melibatkan tracking dalam hutan. Alhamdulillah Allah masih mengizinkan diri ini untuk merasai pengalaman yang sangat bermakna ini. Banyak kebebatan Allah yang ana temui dalam gua tersebut. Antaranya batu yang berbentuk seperti kapal, gambar patung yang terbentuk hasil daripada titisan air, batu besar yang seakan-akan tergantung diantara dua batu dan lain-lain lagi. Agak susah untuk ana gambarkan melalui kata-kata. Mungkin kerana diri ini bukanlah seorang penulis yang baik. Hanya pengalaman sahaja yang dapat membuatkan diri sangat kagum dengan kekuasaanNya. Ya..pengalaman merupakan guru yang paling baik bagi seseorang. Apa pun rasa bersyukur sangat dapat pengalaman ini.

Terima kasih Ya Allah kerana Engkau izinkan semua ini untuk hambaMu lalui..=)



Salah satu gambar yang sempat dirakamkan..dua patung yang saling bertentangan..patung agama hindu..

Nampak tak???