Salahkah salam selepas solat jemaah??

Assalamu'alaikum...emm rasanya dah lama ana tak update blog ana ni.Dah ramai yang komen supaya ana update kan blog.Apa pun ana minta maaf pada semua yang mengharapkan ana update blog tapi tak juga update.

Buat semua yang menunggu adanya artikal baru dalam blog ni, ana ada terjumpa satu persoalan yang juga bermain diminda ana. Dulu waktu ana di sekolah menengah dulu, selepas saja solat jemaah(solat maghrib), kami akan bersalaman,baca mathurat,Al-Quran secara jemaah.Selepas tu terus solat isyak(bila masuk waktu la).Cuma ada satu ketika tu, kami ditegur oleh ustazah, katanya tak perlu salam sebab kita akan solat isyak jemaah sekali.Bila masuk 'U' lain pulak jadinya.

Jadi untuk menghilangkan kekeliruan ana serta rakan-rakan yang lain walau pun ana dah lama dapat jawapannya, ana sertakan ulasan yang ana ambil dari Ust Zaharuddin Abd Rahman(mesti semua kenal kan) bagi mengukuhkan lagi hujah:-)

Salahkah Bersalaman Antara Ahli Jemaah Selepas Solat

Ulasan Ust Zaharuddin Abd Rahman:

Asal hadith berkenaan bersalaman tangan adalah hadith :

مَا مِنْ مُسلِمٍ يَلتَقِيَانِ فَيَتصَافَحَانِ إلا غَفَرَ لَهُمَا قَبْلَ أن يَتَفَرَّقا

Ertinya : "Tiada seorang Muslim yang bersalaman antara keduanya, kecuali Allah akan mengampunkan keduanya sebelum ia berpisah" ( Riwayat Abu Daud, Tirmidzi , Hadith Hasan)

Menurut fakta sirah, sememangnya tidak terdapat pula di zaman Nabi SAW, amalan bersalaman secara berjemaah selepas solat, tetapi amalan ini berlaku setelah Nabi SAW wafat. Maka ulama berbeza ijtihad dalam hal ini, sekumpulan ulama mengatakannya Bid'ah kerana tidak dilakukan oleh Nabi SAW dan para Sahabat.

Berkata pula kumpulan ulama yang lain : Ia memang bid'ah (perkara baru iaitu dari sudut bahasanya) tetapi tidak ada dalil yang boleh menghadkannya sebagai bid'ah Hasanah atau Sayyi'ah, kerana tiada larangan tentangnya.

Imam Ibn Taymiah pernah ditanya soalan ini, maka beliau berkata : ia adalah bid'ah yang tidak dilakukan oleh Rasul dan Sahabatnya. Imam Izzuddin Abd Salam pula berkata : Ia adalah bid'ah yang harus. Imam An-Nawawi pula berkata : "Ia adalah sunnah" mengambil kepada asal hukum bersalaman yang diajar oleh Nabi SAW tetapi pandangan ini tidak mengambil kira sunnah hanya berlaku pada waktu tertentu (ketika berjumpa) tidak pada waktu lain.[1]

Kesimpulan saya:

  • Bersalaman sesama muslim sememangnya mempunyai dalil yang shohih, cuma dalilnya menyebut secara jelas ia dibuat ketika bertemu, maka persoalannya adalah : Adakah ia secara tidak langsung dan pasti "Qoti'e" melarang bersalaman di waktu lain?. Penulis berpandangan bahawa hukumnya adalah "harus" untuk seseorang berpegang dengan umum hadith, iaitu galakkan berjabat tangan tanpa dihadkan pada waktu-waktu tertentu, tanpa menafikan bahawa ketika bertemu adalah waktu yang paling digalakkan. Ia adalah digalakkan terutamanya apabila ia dibuat atas asas adat, dan bukannya atas asas rekaan baru ibadat khusus. Sebagaimana yang diketahui bahawa penerimaan sesuatu adat di dalam Islam adalah menurut ‘maqasid' atau hikmah perilaku adat tersebut dan terdapat percanggahan dengan mana-mana hikmah hukum Islam atau tidak, jika tiada maka haruslah sesuatu adat tersebut.
  • Kaedah Islam yang menerima adat seperti ini adalah " Al-‘Adat Muhakkamah" ertinya : "Adat yang tidak bercanggah dengan Syara' boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan". (Rujuk Al-Madkhal al-Fiqhi Al-‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/885 ; Syarh alQawaid al-Fiqhiyyah, Syeikh Ahmad Az-Zarqa, ms 219). Terdapat satu keadah lain berbunyi : " Innama tu'tabaru al-‘Adat iza attaradat aw ghalabat " ertinya : Sesungguhnya diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan dan dilakukan oleh majority". (Al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Ali Ahmad An-Nadawi, ms 65)
  • Kesimpulannya, jika terdapat individu yang ingin mengambil ruh dan ‘maqasid' atau hikmah dari berjabat tangan (bersalaman) dengan menggunakan ijtihad sendiri di bawah naungan hadith tadi, penulis merasakan adalah amat tidak wajar untuk kita mendakwanya telah melakukan perkara haram serta salah. Ini adalah kerana, terdapat kemungkinan bahawa apa yang dikehendaki dan di ‘target' oleh Nabi SAW dari amalan berjabat tangan itu adalah terbitnya rasa ukhuwwah sesama Muslim, justeru, jika benar demikian maka bersalaman tanpa dibatasi waktu dan keadaan tertentu amat besar peranannya dalam merapatkan hubungan sesama Muslim, keadaan ini juga disokong oleh hadith yang menyuruh kita memberikan lafaz Assalamu'alaikum sesama Muslim supaya dapat menghasilkan perasaan saling mengasihi antara satu sama lain. Sebagaimana sabda baginda SAW :

لا تدخلون الجنة حتى تؤمنوا ولا تؤمنوا حتى تحابوا أولا أدلكم على شيء إذا فعلتموه تحاببتم أفشوا السلام بينكم

Ertinya : "Kamu tidak akan memasuki syurga sehinggalah kamu beriman dan sehinggalah kamu saling berkasihan (antara muslim) , dan adakah kamu ingin aku menunjukkan kepada satu perkara yang jikalau kamu melakukannya nescaya kamu akan saling berkasihan, sebarkanlah ucapan salam di antara kamu"( Riwayat Muslim, Abu Daud )[2]

  • Adat dan kebiasaan masyarakat Malaysia yang melakukannya sejak sekian lama juga perlu diambil kira sebelum menjatuhkan hukuman. Terutamanya dalam hal furu' dan bersifat ijtihadiyah ini. Kerana adat dan ‘uruf yang tidak bertentangan dengan syara' malah dapat mengukuhkan lagi salah satu di antara maqasid as-syara' sememangnya di galakkan.
  • Walaupun demikian, jika terdapat sesiapa yang benar-benar ingin mengikuti zohir nas semata tanpa sebarang percubaan berpegang dan melihat kepada ruh dan maqasid hasil daripada arahan untuk berjabat tangan, maka eloklah untuknya berjabat tangan ketika bertemu sahaja. Bagaimanapun, janganlah sampai mendakwa individu yang melakukannya telah melakukan perkara yang salah lagi haram, kerana terdapat banyak kemungkinan bahawa ahli jemaah yang baru sahaja menunaikan solat itu sememangnya baru sahaja bertemu, lalu hanya sempat berjabat tangan sesudah menunaikan solat. Ketika itu, ia termasuk dalam kategori hadith tadi secara tepat. Wallahu a'lam.
  • Bagaimanapun, sesiapa yang ingin melakukannya perlulah mengetahui dan menyedari bahawa amalan merutinkannya bukanlah sesuatu yang lebih baik dari zaman Nabi SAW.

[1] Al-Fatawa, Atiyyah Saqar, 1/513

[2] Sohih Muslim, No 54, 1/74 ; Sunan Abu Daud, no 5193, 4/350 (Hadith bertaraf shohih)

http://www.zaharuddin.net/content/view/457/90/

2 comments:

permata said...

salam..

"Kamu tidak akan memasuki syurga sehinggalah kamu beriman dan sehinggalah kamu saling berkasihan (antara muslim) , dan adakah kamu ingin aku menunjukkan kepada satu perkara yang jikalau kamu melakukannya nescaya kamu akan saling berkasihan, sebarkanlah ucapan salam di antara kamu"( Riwayat Muslim, Abu Daud )[2]

skrg dah susah nak dengar org sebarkan salam...isk3...

so takpe la salam after solat kan..kan..tp mmg betul sgt kata penulis, apa2 pun kita kena faham konsep sbnr la.

nurislam said...

salam..emm betul3..

skrg susah nak dengar org sebarkan salam.amat terasa suasana salam kian pudar bila mana ana tingkatan 2.zaman ana tingkatan 1(1998),amat terasa sangat budaya salam,dan terasa indah sangat suasana Islam ketika itu.

tp kini???????
fikir2 kanlah sendiri..
wallahua'lam..