7 LANGKAH KECEMERLANGAN DIRI


Apa sahaja yang kita buat secara terpaksa maka kita akan tersiksa. Dan tidak semua yang kita dapat adalah yang kita suka. Oleh itu, bersabarlah dengan apa yang kita dapat agar kita dapat apa yang kita suka. Itulah mukaddimah yang telah diberikan oleh Ustaz Hasrizal, penulis blog Saifulislam semasa menghadiri ceramah beliau yang bertajuk “7 LANGKAH KECEMERLANGAN DIRI”.

Setiap orang dalam dunia ini inginkan yang terbaik dalam hidup mereka. Namun, dalam menginginkan yang terbaik, adakah kita telah memberi yang terbaik????...Oleh itu, sekiranya kita menginginkan yang terbaik, maka kita hendaklah memberi yang terbaik. Kecemerlangan sesuatu perkara itu adalah apabila seseorang itu dapat memainkan peranannya dengan sebaik mungkin. Sebagai contoh, seorang suami ingin memakan ayam masak merah. Lalu suami pun suruh isterinya memasak. Namun, isteri masak acuh tak acuh Suami juga meminta bibik untuk memasak juga. Bibik masak dengan penuh bersungguh-sungguh siap ada hiasan lagi. Lalu, sudah semestinya suami akan memilih masakan bibik yang lebih menarik perhatian untuk dijamah. Ia adalah fitrah manusia yang memilih segala yang terbaik jika diberi peluang.

Ilmu, kemahiran dan maklumat merupakan asas kepada sesebuah kecemerlangan. Namun, yang paling penting daripada asas-asas tersebut ialah sikap atau pun akhlak. Kerana dengan sikap inilah yang menjadikan kita dihormati oleh semua masyarakat. Orang disekeliling akan terasa akan kehadiran dan kehilangan kita. Kepimpinan yang dipimpin melalui pengaruh lebih baik daripada kepimpinan melalui kuasa. Pengaruh yang dimaksudkan di sini ialah akhlak atau sikap itu tadi.

Sebagai contoh, “Aku ni ayah kamu. Kamu kena dengar cakap aku!”, kata-kata ini adalah biasa. Namun jika sering diulang, ia petanda bagi kepimpinan yang lemah oleh seorang ayah. Beliau memerlukan ‘jawatan’ dan ‘kuasa’nya sebagai seorang bapa, disebut-sebut agar si anak boleh mematuhi arahan. Keadaan akan menjadi lebih buruk jika kuasa itu didesak-desak dalam keadaan si ayah tiada kualiti yang boleh menyerlahkan pengaruh kepada anak, justeru tiada rasa hormat yang dapat diterbitkan.

Anda boleh memilih… mahu menjadi ayah yang berkuasa, atau ayah yang berpengaruh.
Jika mahu menjadi ayah yang berkuasa, teruskanlah mempromosikan kuasa anda itu. Tetapi jika anda mahu menjadi ayah yang berpengaruh, teruskanlah berusaha membangunkan potensi diri, kerana pengaruh itu terbit dari kualiti dan kelayakan!

Pandangan Imam Al-Ghazali tentang akhlak ialah:
“Akhlak ialah perbuatan yang timbul tanpa berfikir”
Dorongan dalam melakukan sesuatu kebaikan ialah melalui iman (akhlak), peraturan (etika), dan persekitaran (budaya). Kerja yang dilakukan melalui etika ialah seperti seorang pencuci di sebuah bangunan yang kerjanya mencuci tandas. Tetapi tandas dirumahnya kotor dan tidak dijaga. Namun, kerja yang dilakukan melalui iman (akhlak) itulah yang terbaik.

Meminjam kata-kata Stephen Covey di dalam The 7 Habits: Manusia tidak boleh berperanan (efektif) selagi mana dia itu seorang yang DEPENDENT. Sebagai contoh, seorang suami tidak boleh menjadi baik dengan alasan isterinya tidak baik. Atau seorang pemandu tidak boleh berhenti mencarut dan beralih kepada zikir kerana jalanraya yang terlalu sesak. Mood tidak baik kerana cuaca mendung. Keadaan seperti ini tidak memungkinkan seseorang itu menjadi efektif dalam kehidupan kerana dia tidak mempunyai kawalan ke atas diri sendiri sebaliknya dikawal oleh faktor-faktor itu tadi.

Namun, kebebasan yang diperlukan adalah kebebasan yang dipimpin oleh prinsip. Kebebasan itu boleh membinasakan. Cuba julang sebuah buku ke udara dan lepaskan ia dari pegangan. Atau layang-layang terputus tali. Oleh itu, kebebasan mesti ada tempat berpegang untuk memegang dan dipegang Kebebasan mesti dipimpin oleh prinsip. Guided by principles. Islam memberikan acuan yang sama malah lebih sempurna.
"Nampakkah (Wahai Muhammad) keburukan keadaan orang Yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan Yang dipuja lagi ditaati? maka Dapatkah Engkau menjadi Pengawas Yang menjaganya jangan sesat?" [Al-Furqan 25: 43]

Ayat berkenaan menceritakan ada manusia hidup sebagai mangsa jajahan, bukan dijajah oleh Kuasa Asing tetapi dijajah oleh Hawa Nafsunya sendiri apabila tidak mempunyai kawalan ke atas diri dan sentiasa mengikut kehendak Nafsu. Misalnya, terpaksa makan kerana ada makanan.

Inilah rahsia dan peranan besar Shahadah kita. Ungkapan “Laailaha” – bermaksud membebaskan diri daripada dipertuhankan oleh hawa nafsu, oleh fesyen, malah oleh suami, isteri, majikan atau cuaca. Kita bebas menentukan pilihan tindakan. Namun kebebasan itu dipimpin dan ditunjang oleh prinsip yang datang pada bahagian berikutnya iaitu “Illallah” - Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang menjadi keutamaan tertinggi hidup kita, justeru mentunjangi kebebasan dan pilihan dalam hidup ini. Selamat membebaskan diri, dan memaksikan kebebasan itu pada sebuah pendirian yang berIlahkan Allah!

# Oleh kerana masa yang tidak mencukupi, hanya 1 daripada 7 langkah sahaja yang dapat dikongsikan oleh ustaz. Walaupun 1, namun perkongsian yang diberikan sangat memberi makna kepada para pendengar..Alhamdulillah…Kebanyakan apa yang ustaz cakap terdapat di dalam blog beliau iaitu saifulislam.com.

0 comments: