KEKUATAN HATI


Assalamualaikum wbt. Satu diantara kekuatan yang Allah kurniakan kepada umat islam ialah zikrullah. Saya merasakan orang-orang islam pada hari ini tidak begitu memanafaatkan aktiviti yang amat penting ini. Dalam kitab sohih Muslim, Nabi saw pernah bersabda " Sabbaqal mufarradun " yang bermaksud "Telah mendahului mereka yang tersendiri ". Lantas Nabi memuji golongan ini. Golongan yang di gelar oleh baginda sebagai Al mufarradun. Golongan yang tersendiri. Kata Nabi mereka mendahului orang-orang lain.

Lantas para sahabat ra bertanya kepada baginda. Siapakah sebenarnya golongan Al mufarradun ini. Maka Nabi menjawab mereka ialah golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah swt. Itulah golongan istimewa yang mendapat pujian. Lantas di zaman dahulu khususnya di zaman Nabi , para sahabat dan di peringkat awal islam, zikir terutamanya zikir dengan hati ini amat diutamakan. Sebab itu ketika itu umat islam berjiwa tenang. Umat islam sentiasa di kurniakan ilham sehingga mereka mampu menghadapi masalah-masalah yang besar dan kemudiannya dapat menewaskan musuh mereka dan menegakkan empayar islam.

Mereka dapat melakukan demikian kerana mereka memperolehi kekuatan dari dalam bukan dari luar. Mereka tidak mengadu tentang orang lain berhubung dengan kesilapan diri sendiri tidak seperti kita orang islam pada hari ini. Jika berlaku apa-apa masalah pada umat islam kita dengan cepat salahkan barat, salahkan yahudi, salahkan yang itu dan ini tetapi tidak pernah salahkan diri kita sendiri yang cuai, leka, alpa, yang tidur banyak dan seumpamanya. Semuanya orang lain salah dan kita tidak pernah bersalah. Umat dahulu mereka banyak bermuhasabah tentang diri mereka sendiri. Ia benar kadangkala musuh pun memainkan peranan untuk menghancurkan islam. Itu tidak boleh kita nafikan, tetapi umat dahulu, mereka lebih banyak memberikan tumpuan tentang dalaman, diri dan kecuaian mereka sebab mereka menyedari jika mereka terus menerus cuai, mereka akan kalah.



Justeru mereka banyak berzikir, muhasabah diri sendiri, perbaikki diri mereka, akhirnya alhamdulillah Allah memberikan pertolongan dan bantuan kepada mereka. Seperti apa yang saya katakan tadi satu diantara aktiviti yang amat mereka utamakan ialah zikrullah. Sebenarnya tuan-tuan dan puan-puan yang di muliakan, jika kita benar-benar berzikir, memberi tumpuan kepada zikir sebagai contoh kita berkata Allah, ataupun subhanallah, mengulang-ulanginya secara berterusan mungkin sehari memakan masa 8 - 10 minit tetapi dengan penuh khusyuk. Yang paling penting yang hendak ditekankan pada pagi ini ialah zikir dengan penuh khusyuk. Bukan zikir dengan lisan tetapi mata terbeliak melihat kesana kesini. Bukan zikir dengan lidah tetapi hati menerawang kesana sini, tetapi dengan penuh khusyuk,masyaallah otak kita akan menjadi lebih cemerlang dan kemudiannya seluruh badan kita menjadi lebih baik.

Mengikut satu kajian yang di buat oleh seorang Professor daripada Harvard Medical School iaitu Professor Herbert Benson. Mereka yang meditasi, ini bahasa orang barat. Mereka tidak faham zikrullah. Mereka hanya faham meditation. Tidak mengapa sebab zikrullah yang di lakukan dengan khusyuk menyamai dan melebihi meditation. Ada yang sama tetapi sudah pasti ada yang berbeza dan malah lebih. Tapi kita sekadar nak berbincang bab meditasi untuk kita faham perubahan biologi yang berlaku dalam diri kita ketika kita berzikrullah dengan penuh khusyuk. Maka berkata Dr. Benson mereka yang bermeditasi secara mendalam, mereka sebenarnya sedang menghilangkan tekanan pada diri mereka sebab ketika meditasi yang sedang mereka lakukan otak menggunakan 17 % lebih rendah oksigen daripada biasa. Ini satu yang cukup luarbiasa. Denyutan jantung mereka juga lebih rendah daripada orang lain. Maksudnya tekanan pada jantung tidak ujud. Ketiganya otak mengeluarkan satu gelombang, gelombangnya bernama Gelombang Theta ataupun Theta Wave.

Kebiasaan jika kita sedang berfikir sekarang, kita sedang mengeluarkan Gelombang Beta, tetapi jika kita sedang berzikir dengan penuh khusyuk dan ketika itu kita melupakan kesemua apa yang berlaku diluar sana, itu yang kita maksudkan zikir yang khusyuk. Ketika itu otak kita mengeluarkan gelombang baru yang bernama Theta. Gelombang inilah gelombang ketenangan. mengikut pakar-pakar yang mengkaji ketika itulah sistem badan kita berubah. Disamping otak kita berubah dan mendapat kekuatan baru, badan kita keseluruhannya juga berubah. Antara kajian yang menarik ialah, kajian yang berkaitan dengan sistem Imiul atau sistem pertahanan badan. Mereka dapati golongan yang banyak bermeditasi mereka sebenarnya mempunyai sistem pertahanan badan yang lebih mantap daripada orang lain terutama orang yang sentiasa sibuk kesana kemari dan sentiasa sibuk hendak mengambil tahu tentang orang lain. Mereka hidup dengan jiwa yang tidak pernah tenang dan hidup dalam keadaan penuh tekanan, sistem pertahanan mereka rendah dan mereka senang di timpa penyakit. Sebaliknya orang yang banyak bermeditasi sistem pertahanan mereka mantap. Mereka jarang mendapat penyakit.

Ada satu kajian bagi wanita yang banyak berzikrullah atau bermediatasi, mereka mengeluarkan satu bahan khas yang dapat membunuh sel-sel tumbuhan yang wujud di payudara mereka. Ini satu kajian khas dan penemuannya juga kita anggap special. Ketika bermeditasi darah mengeluarkan satu bahan khas yang dapat membunuh sel-sel tumbuhan dalam payudara. Itulah kehebatan yang ada pada meditasi dan zikrullah yang dilakukan dengan penuh khusyuk ialah meditasi di tahap yang tinggi. Saya mengatakan tadi mereka yang berzikrullah menyamai orang-orang yang bermeditasi dan juga mengatasi golongan ini. Sama sebab perubahan badan yang berlaku tadi akan dirasai oleh orang bermeditasi dan zikrullah dengan khusyuk. Dimana lebihnya. Lebih kerana mereka akan mendapat ilham special. Ilham ini berpandukan janji Allah yang berbunyi " Waman ja hadu fiina lanah diyannakum subulana" " Orang yang bersungguh-sungguh membersihkan dirinya melawan hawa nafsunya, kami yakni Allah akan tunjukkan jalan-jalan kami kepada mereka. Itu yang lebih, dengan cara demikian mereka mendapat petunjuk, ilham dan juga jalan keluar daripada masalah yang mereka hadapi setiap hari.

Lantas tuan-tuan dan puan-puan yang saya muliakan, marilah kita sama-sama mendekati Allah dengan banyak berzikir dan sudah pastinya zikir yang paling pokok ialah solat yang dilakukan dengan khusyuk , jangan abaikannya kerana jika dilakukan kesemuanya ini dengan khusyuk, kita akan menjadi insan yang special, kita akan mendapat banyak faedah dalam diri kita sendiri dan kita akan mendapat ilham dan petunjuk daripada Allah. Jangan abaikan kekuatan ini dan kemudian mencari kekuatan yang lain. Inilah kekuatan yang paling asas yang perlu kita manafatkan insyaallah.

Written by saujana.team

0 comments: